Friday 23 March 2012


JOHOR BAHRU : Cubaan melambakkan barangan berjenama tiruan sempena musim perayaan ini tersekat selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyerbu 10 premis termasuk sebuah stor di sini, semalam.
Dalam operasi bermula jam 10 pagi dan berakhir enam jam kemudian, sembilan premis menjual barang berjenama tiruan di empat pusat beli-belah serta stor di Masai diserbu.
Ketua Penguat kuasa KPDNKK Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya merampas 4,419 barang berjenama tiruan Adidas, Umbro dan Levi’s bernilai lebih RM157,000 mengikut harga pasaran.
“Tarikan utama barang tiruan ini adalah kualitinya hampir menyamai barangan tulen tetapi dijual pada harga lebih murah.
“Barangan dirampas termasuk baju-T lelaki dan wanita, kasut, beg dan pelbagai lagi. Operasi Gerak Gempur Cetak Rompak (GGCR) ini dijalankan selepas seminggu risikan dibuat,” katanya.
Operasi membabitkan 25 pegawai itu turut disertai wakil pengedar sah barangan berjenama berkenaan.
Menurut Hamid, GGCR dijalankan hasil aduan diterima daripada wakil pengedar sah produk itu berkaitan aktiviti penjualan barangan tiruan.
Beliau berkata, produk tiruan terbabit diseludup masuk sebelum diedar kepada peniaga di pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini.
“Penjaga dan pemilik 10 premis terbabit ditahan sebelum dibebaskan selepas diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1)b Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menjual barangan tiruan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

No comments:

Post a Comment